4 Feb 2012

AMALAN ZIKIR SEBAGAI PERISAI DIRI

Kemodenan membuatkan kita lupa akan hakikat kehidupan ini. Dalam mengejar dunia kita selalu tertinggal akan perkara penting yang akan dibawa di akhirat kelak. Sudah menjadi amalan kita orang melayu penuhkan ilmu di dada. Lagi jauh kaki melangkah lagi banyaklah ilmu yang dituntut. Amalan zikir merupakan potongan ayat-ayat suci al-quran dan doa yang dijadikan sebuatan beribu-ribu kali dan ianya memberi kesan kepada pembentukan rohaniah seseorang sehinggalah ke pembentukan jasmaniah. 

Ulamak ada mengatakan makanan untuk roh adalah amalan membaca al-quran dan zikir yang dilakukan. Lagi banyak yang dilakukan maka lebih kenyanglah roh kita. Walaupun kita tidak melihat secara kasar bagaimana roh tetapi kesihatan roh itu menyumbang kepada kelahiran jatidiri seseorang insan. 

Amalan zikir tidak memudharatkan kita selagi kita tidak berzikir dengan cara yang salah dan menyeru unsur-unsur lain selain Allah. Pendapat sesetengah orang yang memberatkan amalan zikir ini patut disangkal dan dibuang jauh-jauh kepada pemikiran umat islam kini. Kesan zikir ini amatlah besar kepada kita serta keturunan kita kelak. Kerana lagi banyak dan berterusan kita lakukan amalan ini maka kita akan mendapat kasih sayang dan cinta daripada Allah dan bila kita punyai cinta Allah dan RasulNya maka jangan kita risaukan bahang dan ujian yang menanti di dunia kerana Allah telah menjanjikan bantuanNya untuk kita kelak. 

Kenapa sesuatu zikir atau amalan itu perlu ijazah? mungkin ramai diantara kita yang timbul pertanyaan ini dalam hati dan tidak tahu bagaimana ingin mendapatkan jawapannya. Pada pendapat saya dan sepengetahuan saya amalan zikir dan lainnya tidak semestinya menerima ijazah. Tetapi ada kemungkinan ianya perlu dilihat dari sudut keberkatannya dan dalam konteks memahami kaedah berzikir atau beramal. Bila konsep ijazah ini diperkenalkan maka sudah tentu kesahihan sesuatu amalan itu akan terjamin dan tidak diragui. 

Kesan zikir yang tinggi akan membentuk perisai yang kuat. Perisai yang kuat ini digunakan dalam menghadapi pelbagai ancaman samaada secara kasar mahupun halus.  Oleh yang demikian amat rugilah bagi diantara kita yang tidak berzikir. Banyak keistimewaan yang akan diperoleh antaranya ketenanggan hati, kesabaran, keyakinan, kesegaran tubuh badan hingga menjadikan tubuh sihat dan banyak lagi.