16 Ogo 2011

PUASA MELATIH DISIPLIN DIRI

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dijadikan Allah buat umat manusia. Dalam bulan ini sesiapa yang beramal soleh dengan penuh dedikasi akan dibalas dengan 700 kali ganda pahala. Menurut riwayat Abu Hurairah; Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud; Di dalam bulan Ramadhan telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan diikat syaitan yang mengganggu manusia. Ini membuktikan bahawa Allah amat menyayangi hambanya yang menjadikan bulan Ramadhan ini suatu pemberian yang sangat bererti daripada Pencipta. 

Ramadhan hendaklah dilihat dalam pelbagai sudut kerana dengan mata hati yang bersih dan tajam akan melahirkan dalaman diri yang baik serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. Dalam menjalani ibadah puasa dah tentu akan didengari pelbagai halangan atau dugaan yang dilalui. Tetapi semua itu berbaloi jika akhirnya nanti diberi ganjaran pahala oleh Allah. Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi ianya lebih bermakna jika kita memupuk diri menahan gelodak hawa nafsu yang inginkan kepuasan. Nilai kesabaran yang dipupuk melalui ibadah puasa amat berkesan dalam melunturkan jiwa yang selama 11 bulan diturutinya. 

Disiplin merupakan satu yang sangat bersifat subjektif untuk dilenturkan. Kerana ianya bergantungan banyak faktor persekitaran sama ada dalam dan luar diri seseorang. Kepatuhan dalam melaksanakan ibadah puasa dengan baik akan membentuk disiplin diri yang ampuh sekiranya seseorang itu memanafaat setiap hari dalam bulan puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. 

Alam Melayu Islam kita telah dididik dengan amalan ibadah puasa. Hingga jika ada yang tidak boleh berpuasa merasakan sangat kerugian. Ini adalah didikan yang sempurna dan berjalan dari zaman berzaman. Persoalannya ialah kenapa kini sukar segelintir umat melayu islam untuk melaksanakannya. Adakah kerana kemodenan menolak ibadah atau kejelekkan kita dalam hal-hal yang berkaitan keagamaan?. Tepuk dada tanyalah selera, dah tentu akan ada jawapannya. 

Walau apapun alasan kita bulan ramadhan tidak akan menunggu kita. Ia pasti datang dan akan pergi meninggalkan kita walaupun entah ramadhan akan datang kita berjumpa ataupun tidak. Kembalilah kepada hakikat kita sebagai manusia yang telah diciptakan. Tiap sesuatu penciptaan itu ada kelebihannya dan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Oleh yang demikian marilah berpuasa agar ianya membentuk jiwa yang lebih baik dari semalam dan semoga amalan ibadah kita tahun ini diterima Allah SWT. 

Penulis: Ayahanda Dr. Shahrudi bin Sani