6 Jul 2010

RELEVANNYA SILAT MASAKINI...

Silat merupakan satu sumber warisan bangsa Melayu yang tidak boleh dinafikannya lagi sejak berzaman. Silat juga merupakan kaedah jati diri yang melahirkan pahlawan-pahlawan unggul seperti, Laksamana Hang Tuah, Dato Maharajalela, Datuk Bahaman dan lain-lain lagi. Suatu ketika dahulu, masyarakat amat memandang tinggi terhadap ketinggian ilmu seseorang termasuklah ilmu Agama Islam dan ilmu persilatan. Tidak kira aliran mana silat seseorang itu, tentunya akan diisi dengan ilmu tauhid yang menjadi pegangan setiap pesilat untuk berjalan dijalan yang lurus sebagaimana digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Penguasaan silat dizaman dahulu akan menjadikan taraf hidup seseorang itu berubah contohnya Laksamana Hang Tuah, beliau yang berasal dari keluarga hamba rakyat diangkat menjadi bangsawan kerana ilmu persilatan yang tinggi beliau dan berjaya mempertahankan maruah dirinya, bangsanya, agama dan tanah airnya yang tercinta daripada pengganas/ lanun.

Ajaran Islam yang berkonsepkan tauhid kepada Allah swt merupakan paksi utama dalam melahirkan jati diri seseorang. Inilah yang dikatakan oleh Dr Hamka (ulamak tersohor) bahawasanya silat itu lahirnya daripada perkataan solat.  Didalam solat kita diajar tentang tertib dan hukum dalam memenuhi tuntutan rukun islam tersebut. Terdapat syarat yang perlu dipatuhi dan setiap perbuatan yang dilakukan dalam solat dan hal ini telah diadaptasikan kepada silat. Jati diri yang terbaik adalah kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan ini memang tidak boleh diragui lagi kerana ianya telah berjaya dan terbukti sejak zaman dahulu kala lagi. Tetapi apa dah jadi masa kini???

Silat kini dipandang sepi oleh sesetengah orang yang sedihnya ianya dipinggirkan oleh remaja sendiri yang dah tentu akan menjadi penyambung kekuatan warisan bangsa Melayu kelak. Dalam hal ini kemodenan tidak boleh dianggap sebagai satu yang mengganggu gugat keutuhan persilatan melayu. Tetapi ianya berpunca dari dalaman institusi silat itu sendiri. Kita sering dengar di dada akhbar sikap kebiadapan orang silat atau jurulatihnya. Penglibatan golongan silat ini didalam jenayah makin membimbangkan yang menakutkannya lagi terlibat dengan jenayah cabul, rogol, samun dan sebagainya lagi. Ini semua menyumbang faktor silat itu tidak relevan sebagaimana yang diwar-warkan. Jikalau tiada orang-orang silat sendiri bertindak kepada pemulihan nama silat ia akan lebih dipandang hina oleh masyarakat kelak. Sebagai orang silat tak kira dimana, apa aliran sekalipun kita kena bersatu membantu satu sama lain dalam memulihkan nama dunia persilatan kita. Sikap pentingkan diri sendiri harus dihakis dan dibentuk dengan sikap sebagaimana yang diajarkan dalam asas agama Islam.

Marilah kita semua menghayati perjuangan pahlawan-pahlawan kita terdahulu dalam memertabatkan maruah bangsa melayu hingga kini. Kita wajib menjaganya agar ianya tidak dirosakkan dan hilang ditelan zaman.